KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan tegas dengan melaksanakan perobohan struktur tambahan yang dibina secara tidak sah di kawasan rizab jalan di Jalan Lintas, Kolombong, selepas pemilik premis gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan.
DBKK dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, tindakan perobohan itu dilaksanakan pada 12 Januari lalu susulan kegagalan pemilik premis mematuhi tiga notis yang dikeluarkan oleh Jabatan Kawalan Bangunan DBKK sebelum ini.
Operasi perobohan yang dijalankan dari jam 9 pagi hingga 2 petang melibatkan kerjasama bersepadu pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity (SE) serta beberapa jabatan DBKK iaitu Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dan Jabatan Landskap.
Menurut DBKK, kerja-kerja perobohan berjalan lancar dan semua struktur haram yang dibina di atas kawasan rizab jalan berjaya dirobohkan serta dialihkan sepenuhnya. Laporan polis turut dibuat bagi tujuan rekod dan rujukan pihak berkuasa tempatan itu.
DBKK menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap sebarang pembangunan atau pencerobohan yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kawasan rizab awam, demi menjaga keselamatan, ketenteraman dan kepentingan orang ramai.
