PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan sokongan penuhnya terhadap Kerajaan Madani dan komited untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag serta Parlimen Kinabatangan yang akan berlangsung esok.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, PBS akan bekerjasama secara rapat dan menyeluruh dengan jentera BN bagi memastikan kemenangan calon gabungan itu sekali gus mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan.
“PBS kekal konsisten dengan pendirian politik parti dan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada calon BN dalam PRK DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan. Kerjasama ini selari dengan semangat kestabilan politik serta sokongan terhadap Kerajaan Madani,” katanya.
Beliau turut menegaskan PBS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana ahli yang bertindak bercanggah dengan keputusan dan arahan parti.
“Sekiranya terdapat ahli yang ingkar atau bertindak bertentangan dengan arahan parti, perkara itu akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil,” tegasnya.
Joachim berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS yang pertama bagi tahun 2026 di Ibu Pejabat PBS, di sini, hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan turut membincangkan hala tuju strategik dan perancangan masa depan parti dalam usaha memperkukuh peranan PBS sebagai parti tempatan yang relevan serta terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
“PBS akan terus memainkan peranan konstruktif dalam landskap politik negeri dan persekutuan, selain memperkukuh kerjasama dalam gabungan demi kestabilan dan kemajuan Sabah,” katanya.
