KOTA KINABALU: Seorang penolong jurutera dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini pada Khamis atas dua pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan hampir RM200,000 bagi kepentingan ahli keluarganya ketika bertugas di Pejabat Daerah Kecil Kiulu.
Tertuduh, Aldey Kangit, 44, yang merupakan Penolong Jurutera Gred JA29, didakwa melakukan perbuatan itu pada dua tarikh berasingan antara Ogos hingga September 2023 di pejabat berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Aldey didakwa pada 22 Ogos 2023 menggunakan jawatannya sebagai penjawat awam untuk mendapatkan suapan berjumlah RM75,998.10 bagi pihak saudaranya melalui perniagaan MTRR Enterprise milik sepupunya.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama pada 13 September 2023 dengan memperoleh suapan bernilai RM142,490.50, juga bagi pihak saudara terdekatnya melalui perniagaan yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Aldey mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Khas Rasuah, Puan Elsie Primus.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM10,000 serta dua penjamin tempatan, selain mengarahkan beliau melapor diri ke pejabat SPRM setiap dua bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport antarabangsa.
Tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 23 Februari 2026.
