TAWAU: Seorang pemandu lori ditahan polis selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang wanita dalam kejadian di Felda Umas 4, di sini, selain mengugut mangsa untuk mendapatkan wang baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, suspek dipercayai bertindak agresif secara tiba-tiba dengan memukul mangsa serta mengugut akan terus mencederakannya sekiranya tidak menyerahkan sejumlah wang.
Bimbang akan keselamatan diri, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau telah menjalankan siasatan dan berjaya mengesan suspek di Lapangan Terbang Tawau.
“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia sekitar 29 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurut beliau, suspek kemudiannya dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
