KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori di Jalan Lintas, Pusingan-U berhampiran Metro Town, di sini, malam tadi.
Polis Daerah Kota Kinabalu dalam satu kenyataan media mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.59 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Nissan yang sedang bergerak dari arah Metro Town menuju ke pusat bandar dan membuat pusingan-U di lokasi kejadian telah dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal jenis Honda Wave yang berada di lorong kiri.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 8.29 malam oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II.
“Kedua-dua kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut oleh Puspakom, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat yang dijadualkan pada 31 Disember 2025,” katanya di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan secara melulu dan berbahaya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088-529 222.
