KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Vigo ketika dalam perjalanan pulang dari menunaikan solat Jumaat di Jalan Lintas, di sini, jam 1.33 petang, kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa, Mahamud Yunus, 61, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, kemalangan berkenaan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda dan sebuah kenderaan Toyota Hilux Vigo.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Agustavia Joe Guasi memaklumkan, terdapat seorang mangsa iaitu penunggang motosikal terbabit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian sebelum mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, semalam.
Siasatan lanjut berhubung punca sebenar kemalangan masih dijalankan oleh pihak berkuasa.
