TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki mengamuk dan mengeluarkan ugutan bunuh terhadap ibunya dalam kejadian di Batu 2, Jalan Apas, malam Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam apabila mangsa, seorang wanita tempatan berusia 58 tahun, didatangi anak kandungnya yang berusia 23 tahun di rumah mereka.
Menurutnya, suspek bertindak agresif selepas permintaannya untuk diberikan wang tidak ditunaikan oleh ibunya.
“Suspek menumbuk dinding rumah dan mengugut dengan perkataan ‘bunuh’, menyebabkan mangsa ketakutan sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengesan suspek di kawasan perkampungan Batu 2, Jalan Apas, kira-kira jam 3 petang tadi.
ACP Jasmin berkata ketika operasi tangkapan dijalankan, suspek cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam parit berhampiran, namun anggota polis berjaya menahannya selepas menggunakan kekerasan minimum.
Suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
“Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk ancaman jenayah, termasuk yang berlaku dalam keluarga sendiri. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan awam,” tegasnya.
