TAWAU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa dakwaan Datuk Seri Bung Moktar Radin kononnya Kerajaan GRS merupakan kerajaan “paling gagal di dunia” adalah tidak berasas, malah kembali terpalit kepada bekas Menteri Kerja Raya (KKR) itu sendiri.
Menurut Armizan, Kerajaan GRS hilang hampir dua tahun pertama tempoh pentadbiran (2021–2022) kerana terpaksa berdepan kelemahan ketara kementerian yang ketika itu diterajui Bung Moktar.
Beliau menyifatkan prestasi Bung sebagai antara yang “paling gagal dalam sejarah”, khususnya dalam menangani isu air dan elektrik yang menjadi keperluan asas rakyat.
Dari aspek bekalan air, Armizan menjelaskan tiada satu pun projek besar penstabilan bekalan air dilaksanakan ketika Bung menerajui KKR Sabah.
Projek Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 di Tawau hanya bermula selepas era beliau, pada 22 Julai 2025 dan dijangka siap pada 22 Julai 2028.
Di Papar pula, Projek Naik Taraf LRA Kogopon yang telah lama berada dalam perancangan hanya dapat dimulakan pada Ogos 2023 setelah portfolio KKR bertukar kepada Datuk Shahelmey Yahya.
Katanya, kedua-dua projek ini membuktikan kegagalan kepimpinan Bung kerana penggantinya berjaya menggerakkannya dalam tempoh singkat.
Selain itu, Kerajaan GRS turut merancang projek baharu, LRA Balung II, yang dijadual bermula tahun 2026.
Sementara itu, berkaitan isu elektrik, Armizan menjelaskan bahawa kuasa kawal selia elektrik Sabah hanya dipindahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri pada 3 Januari 2024 selepas 41 tahun berada di bawah Kerajaan Persekutuan sejak 1983.
Beliau menyifatkan tidak wajar bagi Bung atau mana-mana pihak menyalahkan Kerajaan GRS atas masalah yang berakar daripada penguasaan Persekutuan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Malah, semasa Bung berada dalam kerajaan, beliau tetap mencampuri urusan elektrik meskipun ia bukan bidang kuasa KKR dengan mencadangkan dua Ketua Bahagian UMNO Sabah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SESB.
Namun, menurut Armizan, tiada pencapaian signifikan yang direkodkan oleh wakil-wakil UMNO tersebut atau Menteri Tenaga dari parti berkenaan dalam menyelesaikan krisis elektrik Sabah ketika itu.
Armizan menegaskan, sebaik sahaja Bung dan UMNO tidak lagi berada dalam Kerajaan Sabah serta kuasa kawal selia elektrik dikembalikan kepada kerajaan negeri, pelbagai projek penstabilan mula dilaksanakan.
Antaranya termasuk Projek Rangkaian Grid Pantai Timur Southern Link Fasa 1 yang dimulakan pada 2024.
Jelas beliau, “Takdir Tuhan menentukan keluarnya seorang ‘Menteri Gagal’ daripada kerajaan telah membuka ruang kepada Sabah untuk kembali maju. Hari ini, projek-projek penstabilan air dan elektrik akhirnya berjalan seperti yang sepatutnya,” tegasnya.
