KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan bahawa mana-mana ahlinya yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah 2025 akan dipecat serta-merta kerana melanggar ketetapan parti.
Menurut kenyataan rasmi Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohamed Razali Razi, tindakan bertanding atas tiket Bebas jelas bercanggah dengan pendirian parti sebagai komponen dalam gabungan Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Tindakan bertanding atas tiket BEBAS adalah bertentangan dengan pendirian dan keputusan parti sebagai komponen dalam Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” tegasnya.
Razali turut menjelaskan bahawa keputusan individu untuk bertanding sebagai calon Bebas tidak mempunyai kaitan dengan parti atau mana-mana pimpinan PGRS.
“Mana-mana individu yang membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon BEBAS tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan parti dan mana-mana pimpinan parti, walaupun mereka merupakan ahli Gagasan Rakyat,” katanya.
Justeru, parti itu menguatkuasakan tindakan pemecatan serta-merta terhadap mana-mana ahli yang melanggar ketetapan tersebut, sebagai langkah menjaga disiplin dan kesepakatan dalam gabungan.
Razali ketika ditemui media mengesahkan antara ahli yang dikenalpasti bertanding atas tiket BEBAS, termasuklah Datuk Fairuz Renddan (Pintasan), Datuk Roland Chia (Inanam) dan Datuk Maijol Mahap (Bandau).
Pada masa yang sama, Razali menyeru semua penyokong serta jentera parti supaya terus memberi tumpuan penuh menghadapi pilihan raya dengan memastikan kemenangan calon-calon GRS.
“Kesatuan dan fokus amat penting demi masa depan dan kepentingan rakyat Sabah,” ujarnya.
