SEMPORNA: Polis menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah selepas menemui dadah jenis syabu seberat 200.54 gram bernilai RM22,059.40 dalam serbuan di Kampung Sri Jaya, Semporna, pada 21 Oktober lalu.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Jaafar Hakim, operasi dijalankan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dengan bantuan anggota Balai Polis Pulau Bum Bum.
“Dalam operasi sekitar jam 11.30 pagi itu, pasukan berjaya menahan seorang lelaki bukan warganegara yang bertindak mencurigakan. Pemeriksaan terhadap suspek menemukan sebuah beg silang berwarna hitam yang disandangnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut ke atas beg berkenaan menemukan satu bungkusan plastik hitam berisi empat peket plastik cerah, masing-masing mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Anggaran berat kasar keseluruhan dadah yang dirampas ialah 200.54 gram dengan nilai pasaran sekitar RM22,059.40,” jelas beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
DSP Jaafar menegaskan bahawa pihak polis akan terus memperhebat operasi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah itu.
“Polis menegaskan bahawa memiliki, mengedar atau menyalahgunakan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang. Orang ramai digesa terus menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini,” ujarnya.
