PUTATAN: Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan berjaya menggagalkan cubaan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai mahu terjun dari tingkat dua bangunan Wisma Seri Kejura, Putatan, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.29 malam melalui talian balai berhubung kejadian cubaan bunuh diri di lokasi berkenaan.
Menurut Komander Operasi, PB Muhammad Furqan Abdullah, sebaik pasukan tiba di lokasi pada jam 11.34 malam, mangsa telah berjaya dihalang dan dipegang oleh rakan-rakannya sebelum sempat terjun dari tingkap bangunan tersebut.
Pasukan bomba kemudian bertindak menenangkan mangsa serta memastikan kawasan di tingkat dua berada dalam keadaan selamat.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut dibantu oleh tiga anggota PDRM dan dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu tamat sepenuhnya pada jam 1.08 pagi hari ini tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Seramai enam anggota bomba termasuk pegawai penyelamat dengan kekuatan satu jentera CFRT terlibat dalam operasi ini yang diketuai oleh PB Muhammad Furqan Abdullah.
