KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mendedahkan bahawa individu bernama Albert Tei didakwa menggunakan taktik terancang bagi meraih simpati awam dan mengalih perhatian daripada siasatan yang sedang dijalankan terhadap dirinya.
Menurut Nizam, tindakan Albert mencetuskan teori konspirasi kononnya wujud campur tangan politik dalam kes yang dihadapinya adalah satu “operasi persepsi” yang dirancang rapi bagi menggambarkan dirinya sebagai mangsa.
“Ini bukan lagi tindakan seorang yang teraniaya, tetapi strategi yang disusun untuk menimbulkan kekeliruan dan mencipta persepsi bahawa beliau dizalimi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut merujuk laporan sebuah portal berita tempatan yang mendedahkan perancangan Albert di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dipercayai berkaitan kes rasuahnya yang dijadualkan disebut di Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.
“Albert sendiri merupakan dalang utama drama persepsi ini. Beliau masuk ke Sabah dengan alasan mahu bertemu rakan, namun tidak menunjukkan saman mahkamah yang mewajibkannya hadir di mahkamah. Ini jelas satu helah yang telah dirancang lebih awal,” ujar Nizam.
Dalam masa sama, Nizam mengecam kempen terancang di media sosial yang cuba mencemarkan imej Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan mengaitkannya bersama Albert melalui penyebaran gambar lama.
Beliau menegaskan, sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hajiji sememangnya kerap bertemu pelbagai pihak berkepentingan dalam urusan rasmi yang turut dihadiri pegawai kerajaan, dan cubaan mempolitikkan pertemuan seperti itu adalah tidak bertanggungjawab.
“Ketua Menteri bersikap telus dan telah menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap isu lombong, selain memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama penuh tanpa sebarang campur tangan politik,” katanya.
Nizam menegaskan, semua tuduhan dan dakwaan terhadap mana-mana pihak mesti diselesaikan melalui proses undang-undang, bukannya melalui kempen fitnah dan manipulasi persepsi di media sosial.
