KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, mengesahkan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang halangan terhadap hasrat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO untuk bertanding atas tiket GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Dua ADUN yang dimaksudkan termasuklah Datuk Ir. Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu).
“Mereka berdua adalah pemimpin, seorang Menteri Kerja Raya dan seorang Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, saya tiada halangan jika mereka berhasrat untuk bertanding menggunakan tiket GRS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, keputusan rasmi berhubung calon dan agihan kerusi bagi PRN Sabah masih dalam proses perbincangan antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).
“Kita telah berbincang dengan Datuk Saifuddin baru-baru ini, dan saya percaya agihan kerusi antara GRS dan PH dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.
Ketika ditanya mengenai jumlah kerusi yang akan diperuntukkan kepada PH, Hajiji menjelaskan bahawa sebarang pembahagian perlu dilakukan secara praktikal, berdasarkan kekuatan dan potensi kemenangan di setiap kawasan.
“Memanglah setiap gabungan mahu lebih banyak kerusi, tetapi kita mesti praktikal. Mana-mana kawasan yang mempunyai peluang tinggi untuk menang, di situlah kita perlu bertanding bagi memastikan kemenangan gabungan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut menyentuh mengenai penyertaan calon muda pada PRN-17, susulan laporan bahawa lebih separuh daripada 1.72 juta pengundi di Sabah terdiri daripada golongan muda.
“Insya-Allah, kita belum putuskan lagi lama lagi penamaan calon,”ulasnya ringkas.
Hajiji turut menegaskan bahawa kerjasama antara GRS dan PH bukan sekadar fungsi kuasa, tetapi tanggungjawab bersama dalam memastikan kestabilan serta kesinambungan pembangunan negeri Sabah di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
