Kota Kinabalu: Kementerian Kerja Raya Negeri (KKR) dan Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan muncul johan bagi kategori masing-masing dalam Pertandingan Koir Simfoni Integriti 2025 yang berlangsung meriah di Auditorium Menara Kinabalu, Selasa.
Dalam kategori kementerian, KKR berjaya menewaskan sembilan pasukan lain sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta trofi.
Naib juara disandang oleh Kementerian Kewangan Negeri (RM2,500 dan trofi), manakala tempat ketiga menjadi milik Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri (RM2,000 dan trofi).
Bagi kategori Jabatan Ketua Menteri, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan dinobatkan sebagai johan dengan hadiah wang tunai RM3,000 dan trofi.
Tempat kedua dimenangi oleh Jabatan Tanah dan Ukur Negeri (RM2,500 dan trofi), manakala Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri meraih tempat ketiga (RM2,000 dan trofi).
Majlis penutupan pertandingan sempena Program Pelaksanaan Varsha Integriti 2025 itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong.
Turut hadir memeriahkan acara ialah barisan kepimpinan tertinggi pentadbiran negeri termasuk Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hanafiah Mohd Kassim dan Datuk Norlijah Danin; Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Aidah Awang; serta para Setiausaha Tetap kementerian-kementerian negeri.
Pertandingan Koir Simfoni Integriti 2025 ini bertujuan memupuk semangat kerjasama dan budaya integriti dalam kalangan penjawat awam melalui medium seni suara dan persembahan kreatif.
