Lahad Datu: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun maut manakala dua lagi lelaki cedera selepas sebuah kereta jenis Perodua Bezza terbabas di Bulatan depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.42 pagi melalui talian MERS999 sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu bergegas ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK I Mohamud Punya berkata, setibanya pasukan di lokasi, didapati tiga mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Dua lelaki, masing-masing berusia 28 dan 31 tahun berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Seorang mangsa perempuan berusia 19 tahun bagaimanapun tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas RTA (Telescopic Ram). Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dua lagi mangsa lelaki dilaporkan mengalami kecederaan ringan, termasuk pemandu berusia 31 tahun yang cedera di bahagian mulut, sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut.
Operasi yang melibatkan sembilan anggota bomba dengan sebuah jentera LFRT dan sebuah EMRS itu turut disertai pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Setelah memastikan keadaan selamat dan tiada risiko lain, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.48 pagi.
