Foto: PDRM Penampang
Penampang: Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun maut manakala tujuh yang lain cedera selepas sebuah motokar jenis Perodua Alza bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dalam kemalangan di Jalan Papar Lama berhampiran pintu belakang Kem Lok Kawi, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supritenden. Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 5.15 pagi apabila motokar terbabit, yang dalam perjalanan dari arah Penampang menuju Papar, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan pacuan empat roda yang datang dari arah Kinarut menuju Penampang.
“Akibat kemalangan itu, pemandu motokar disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpangnya, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an, mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Queen Elizabeth I.
“Pemandu dan enam penumpang kenderaan pacuan empat roda berusia antara 14 hingga 22 tahun turut cedera dan kini menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Dalam kenyataan sama, polis turut menasihatkan orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga, agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak bawah umur bagi mengelakkan mereka memandu tanpa lesen.
“Langkah ini penting untuk mengelakkan kejadian tidak diingini. Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya.
