Kota Kinabalu: Golongan belia, khususnya generasi Z, diingatkan agar lebih berhati-hati dan bijak menapis maklumat yang tersebar di media sosial supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu.
Pengerusi Smart Sabah, Datuk Mohammed Razali Razi, menegaskan bahawa meskipun media sosial menjadi medium utama rujukan anak muda masa kini, ia tidak boleh dijadikan sumber tunggal tanpa semakan.
“Jangan terlalu percaya dengan apa yang dihidang di sosial media. Kita mesti berfikir dengan bijak, mendapatkan pandangan guru, ibu bapa atau sumber rasmi bagi memastikan kesahihan maklumat sebelum membuat sebarang tindakan,” katanya ketika ditemui selepas menjadi panel dalam Program Tamu Suara 360° Aspirasi Anak Muda di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu (KTEKK), hari ini.
Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) dengan kerjasama Majlis Belia Sabah (MBS) itu menghimpunkan kira-kira 1,000 pelajar yang berpeluang mendengar pandangan pemimpin serta membincangkan isu semasa berkaitan aspirasi belia dan cabaran era digital.
Menurut Razali, penganjuran program sebegini memberi ruang kepada pemimpin untuk mendengar suara generasi muda secara langsung, memahami keperluan mereka, dan seterusnya bertindak demi kepentingan golongan belia.
“Apabila kita mendengar, kita akan faham. Apabila kita faham, barulah kita dapat membuat keputusan yang tepat demi masa depan anak-anak muda kita,” jelasnya.
Dalam sesi soal jawab, beliau turut mengingatkan agar anak muda tidak hanyut dengan maklumat tular sebaliknya menilai setiap maklumat secara kritis sebelum mempercayainya.
Pada majlis sama, Razali turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada pihak sekolah yang diterima oleh Pengetua KTEKK, Suhaibul Kassim.
Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan.
