Lahad Datu: Kegiatan pelacuran yang berselindung di sebalik aplikasi media sosial terbongkar apabila polis menahan lima individu dalam satu serbuan Ops Noda di sebuah hotel di Lahad Datu, malam kelmarin.
Dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu sekitar jam 9.30 malam itu, tiga lelaki dan dua perempuan, masing-masing berusia 18 tahun, ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan pelacuran.
“Siasatan awal mendapati aktiviti tidak bermoral itu dipercayai mula beroperasi sejak Mei lalu dengan menggunakan aplikasi MiChat untuk mencari pelanggan. Bayaran antara RM150 hingga RM300 dikenakan bagi setiap langganan.
“Polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon pintar, kondom, resit hotel serta kunci bilik yang digunakan sebagai lokasi pertemuan pelanggan dengan pelacur,” jelas Polis Lahad Datu dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 372A/372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda atau sebatan, dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga 5 tahun serta enam sebatan jika sabit kesalahan.
Polis mengingatkan orang ramai agar tidak terjebak dalam aktiviti pelacuran yang bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi turut mengundang risiko sosial dan kesihatan.
