Kota Kinabalu: Peguam mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, Shahlan Jufri menafikan sekeras-kerasnya cubaan pihak tertentu yang mengaitkan gambar lamanya bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kes kematian remaja berusia 13 tahun itu.
Beliau menjelaskan gambar berkenaan dirakam pada Jun 2025, jauh sebelum tragedi berlaku, dan tuduhan yang mengaitkannya adalah fitnah berniat jahat untuk mengelirukan masyarakat.
“Saya tegaskan komitmen saya hanya kepada keadilan buat arwah Zara. Segala usaha saya selama ini adalah demi memastikan kebenaran ditegakkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan beberapa tindakan penting yang telah dilaksanakan sejak dilantik sebagai peguam keluarga mangsa, termasuklah, penggalian semula kubur dan pelaksanaan post mortem yang berjaya; menghabiskan lebih lapan jam di bilik bedah siasat atas permintaan anak guam.
Seterusnya, permohonan agar pelaku dikenakan hukuman lebih berat sehingga maksimum 10 tahun; dan permohonan inkues yang telah dibenarkan dan kini sedang berjalan.
Beliau turut menekankan bahawa segala tindakannya dilakukan tanpa takut atau pilih kasih, berlandaskan integriti undang-undang dan proses keadilan.
“Saya tidak akan tunduk pada sebarang tekanan atau cubaan memesongkan perjuangan ini. Sejak hari pertama saya dilantik, tumpuan saya hanya untuk memastikan keadilan buat arwah Zara,” tegasnya.
