KENINGAU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket eksploitasi seks melibatkan remaja sekolah menengah menerusi Ops Pintas yang dijalankan hasil daripada dua laporan polis dibuat oleh ibu bapa mangsa, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, laporan berhubung kehilangan dan eksploitasi dua pelajar tingkatan dua membawa kepada risikan serta temu bual lanjut yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau pada 24 Julai lalu.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua pelajar terbabit telah menjadi mangsa eksploitasi seks yang dipercayai didalangi oleh seorang suspek perempuan berusia 18 tahun yang menguruskan aktiviti pelacuran di beberapa hotel sekitar Keningau.
“Kes dikategorikan sebagai pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi seks,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, pihak polis bertindak segera menyelamatkan kedua-dua mangsa di bawah Seksyen 44 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Susulan itu, operasi tangkapan berperingkat dijalankan antara 24 hingga 29 Julai di sekitar Keningau dan Kota Kinabalu yang berjaya menahan lapan individu terdiri daripada empat lelaki dan empat perempuan berusia 16 hingga 43 tahun, dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan.
“Dalam operasi sama, dua lagi mangsa berumur 20 dan 21 tahun turut berjaya diselamatkan di sekitar pekan Keningau,” katanya.
Kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sabah dan suspek utama berusia 18 tahun telah dituduh di bawah Seksyen 14 ATIPSOM 2007 kerana memperdagangkan individu bagi tujuan eksploitasi seks.
Superintendan Yampil turut menyeru orang ramai agar sentiasa peka dan menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki kegiatan pemerdagangan orang atau eksploitasi seksual, khususnya yang melibatkan kanak-kanak dan remaja.
