TAWAU: Cubaan seorang lelaki tempatan untuk meloloskan diri daripada serbuan polis tidak kesampaian apabila dia berjaya diberkas dalam satu operasi di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kuala Merotai, di sini.
Suspek yang berusia sekitar 27 tahun itu dipercayai terlibat dalam beberapa kes jenayah termasuk kes curi di sebuah gerai di Merotai Besar, kes curi motosikal, serta kes pecah rumah di Kampung Kijang.
Serbuan dijalankan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Bombalai selepas menerima maklumat awam berhubung lokasi persembunyian suspek.
Menurut sumber polis, berlaku pergelutan ketika suspek cuba melarikan diri namun berjaya dikawal dan ditahan di lokasi kejadian.
Pemeriksaan lanjut menemukan sebuah telefon bimbit dan satu dompet dalam milikan suspek yang dipercayai berkait dengan kes-kes yang disiasat.
Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 379, dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.
Pihak polis menyeru orang ramai untuk terus bekerjasama dalam menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah di daerah Tawau.
