TAWAU: Seorang wanita tempatan diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerasan membabitkan iklan khidmat urut palsu secara dalam talian, yang menyebabkan kerugian kepada seorang lelaki warga asing dalam kejadian yang berlaku Februari lalu.
Suspek berusia 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.25 tengah hari kelmarin oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di tepi jalan Kampung Titingan, susulan maklumat daripada pegawai penyiasat IPD Gerik, Perak yang membuka kertas siasatan kes berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati mangsa, lelaki warga asing berusia 41 tahun, telah menghubungi seorang wanita yang menawarkan khidmat urut melalui carian Google dan aplikasi WhatsApp.
“Selepas membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM100, wanita itu gagal hadir ke lokasi yang dijanjikan. Tidak lama selepas itu, mangsa menerima panggilan ugutan daripada nombor tidak dikenali yang menuntut bayaran tambahan RM500 untuk ‘membatalkan khidmat’, dengan ancaman akan dicari atau dibunuh jika enggan,” katanya.
Bimbang dengan keselamatannya, mangsa membuat pemindahan wang melalui mesin ATM kepada akaun bank suspek di Perak. Namun, apabila bayaran tambahan terus diminta, mangsa akhirnya sedar telah diperdaya dan membuat laporan polis.
“Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini disiasat lanjut termasuk penglibatan dengan sindiket penipuan siber. Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan,” katanya lagi.
Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran perkhidmatan di internet yang meragukan, dan supaya tidak membuat sebarang pembayaran kepada individu tidak dikenali.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah penipuan boleh disalurkan melalui CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599.
