KINABATANGAN: Seorang lelaki warga asing dikenali sebagai Mare Miri, 39 tahun, dipercayai dibaham buaya ketika sedang memancing bersama empat rakannya di Sungai Kinabatangan, berhampiran Tampilit Block 2503, Ladang Tomanggong, Sukau, semalam.
Insiden itu disahkan oleh Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah yang memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini memasuki hari kedua.
Menurut Komander Operasi PBK I Mohd Nor Azmer Mat Shor Nasir, operasi pencarian pada hari kedua dimulakan pada jam 2 petang dengan bantuan bot milik orang awam.
Radius pencarian adalah seluas 3 kilometer ke arah hulu dan hilir dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Maklumat awal menyatakan bahawa mangsa telah diterkam buaya secara tiba-tiba ketika memancing di tebing sungai bersama rakannya sebelum terus ditarik ke dalam air dan tidak muncul semula.
Operasi SAR digerakkan oleh tiga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, dengan bantuan PDRM (4 anggota), Jabatan Hidupan Liar (3 anggota) dan kira-kira 40 orang awam.
Setakat laporan terkini, mangsa masih belum dijumpai dan pencarian diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau ternampak sebarang petunjuk diminta menghubungi pihak berkuasa dengan segera.
