BELURAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai berjalan kaki dari Kampung Sinaputan, Beluran menuju ke rumahnya di Kampung Ansuan, Telupid dan tidak pulang sejak 24 Jun lalu.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, maklumat awal diterima daripada Balai Polis Beluran pada pagi hari ini.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran kemudian telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).
“Mangsa dikenali sebagai Mansius Yahsu, 39 tahun, dikatakan telah keluar berjalan kaki selepas melawat ibunya di Kampung Sinaputan, namun tidak kembali ke rumah seperti biasa.
Kehilangannya hanya disedari selepas dimaklumkan oleh adik mangsa,” jelas kenyataan Bomba di sini, hari ini.
Operasi SAR diketuai oleh PBK I Arsad Kadir melibatkan tiga anggota bomba dengan bantuan jentera pacuan empat roda Hilux.
“Pasukan SAR menjalankan pencarian dengan menyusuri laluan yang dipercayai dilalui mangsa sepanjang radius 3 kilometer dari anggaran 16 kilometer laluan keseluruhan.
“Namun, pencarian hari pertama masih belum membuahkan hasil dan operasi ditangguhkan pada jam 5.00 petang. Operasi akan disambung semula pada hari berikutnya.
“Setakat ini, tiada penglibatan agensi luar dilaporkan dan segala usaha pencarian masih tertumpu kepada kawasan hutan dan laluan terpencil antara Beluran dan Telupid,” tambah kenyataan itu lagi.
Orang awam yang mempunyai maklumat atau pernah melihat mangsa diminta untuk menghubungi pihak berkuasa atau Ketua BBP Beluran, TPgB Edoen Macheal di talian 018-7699713.
JBPM Sabah menyeru masyarakat agar sentiasa memaklumkan pergerakan mereka kepada ahli keluarga terutama ketika merentas kawasan hutan atau laluan jauh demi keselamatan diri.
