KOTA KINABALU: Sabah mencatat sejarah baharu dalam dunia penyiaran digital apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melancarkan Borneo.TV, sebuah platform penstriman moden yang menampilkan wajah, suara dan budaya negeri kepada khalayak global.
Dengan slogan “Cerita Sabah di Mata Dunia”, Borneo.TV dilihat sebagai langkah strategik dalam era media digital yang kian berkembang pesat.
Platform ini bakal menampilkan kandungan sahih, dokumentari asli, seni budaya dan keindahan alam semula jadi Sabah dengan pendekatan yang lebih fleksibel dan global, sekaligus memperluaskan jangkauan identiti negeri ke peringkat antarabangsa.
“Ini bukan sekadar pelancaran media digital, tetapi satu pentas untuk anak-anak Sabah berkarya dan membentuk citra negeri melalui naratif sendiri,” kata Hajiji dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Borneo.TV di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, pada Selasa.
Ketua Menteri menekankan bahawa pelaksanaan Borneo.TV adalah satu respons tepat terhadap perubahan landskap media yang kini didominasi oleh penstriman Over-The-Top (OTT) dan menyediakan peluang besar kepada pencipta kandungan tempatan untuk menembusi pasaran yang lebih luas.
“Gaya hidup masyarakat berubah – komunikasi, hiburan, semuanya didorong oleh teknologi digital. Maka Borneo.TV adalah jawapan kita kepada perubahan ini,” ujarnya lagi.
Menurut Hajiji, kerajaan negeri memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan platform tersebut kerana ia bukan sahaja memperkukuh sektor penyiaran, tetapi juga berfungsi sebagai medium strategik untuk menyampaikan kisah sebenar rakyat Sabah kepada dunia.
Beliau turut menyeru para penggiat seni, pencipta kandungan digital, pengaruh media sosial serta pemain industri kreatif tempatan agar memanfaatkan Borneo.TV sebagai pentas untuk mengetengahkan karya asli, suara komuniti dan idea baharu yang mencerminkan keunikan Sabah.
“Saya mahu Borneo.TV menjadi ruang mencabar norma, memperkenalkan wajah sebenar Sabah dengan kreativiti dan keberanian,” katanya, sambil menekankan bahawa tugas petugas penyiaran adalah satu bentuk seni yang membina imej negeri.
Majlis pelancaran itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan IB Media Consultant Work Sdn Bhd, syarikat pengendali Borneo.TV yang beroperasi tanpa sebarang dana kerajaan, satu model pelaksanaan yang diyakini akan menjamin daya saing dan kelestarian jangka panjang.
“Model ini membuktikan komitmen sektor swasta terhadap potensi penyiaran digital Sabah. Ini juga selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 yang menjadikan ekonomi kreatif sebagai pemacu pembangunan negeri,” tambahnya.
Di akhir ucapannya, Hajiji mengajak semua pihak kerajaan, swasta dan masyarakat untuk menyokong penuh usaha ini dan menjadikan Borneo.TV sebagai wadah kolektif untuk menceritakan Sabah sebagaimana yang kita sendiri mahu dunia melihatnya.
Pelancaran Borneo.TV membuka lembaran baharu buat anak-anak Sabah untuk berkarya, mengekspresikan identiti dan menjulang budaya negeri dalam landskap media digital yang lebih luas dan inklusif.
