KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dalam skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di Sabah seperti yang dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini.
Dalam satu kenyataan media, Joachim menyifatkan laporan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan bermotif jahat yang bertujuan untuk mencemar reputasi beliau sebagai pemimpin negeri.
“Saya menolak sepenuhnya dakwaan tersebut. Ia satu cubaan untuk menjatuhkan imej saya, namun saya tidak akan terganggu oleh usaha-usaha seperti ini,” katanya.
Joachim menegaskan bahawa beliau tetap komited dan akan terus menumpukan sepenuh perhatian kepada tanggungjawabnya sebagai Ahli Kabinet Negeri Sabah dan ADUN Kundasang, demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.
Sebagai Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), beliau turut menyeru agar semua ahli PBS dan para penyokong parti agar kekal tenang, bersatu dan terus fokus terhadap perjuangan untuk rakyat.
“Kita perlu terus bekerja keras untuk rakyat. Masih banyak yang perlu dilakukan. Teruskan mendengar, menambah baik, dan memberikan khidmat terbaik demi pembangunan negeri yang kita cintai,” ujarnya.
Joachim juga menegaskan bahawa beliau akan menghadapi situasi ini dengan hati yang tenang dan nurani yang bersih, sambil merakamkan penghargaan atas sokongan dan kepercayaan berterusan rakyat terhadap kepimpinannya.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan laporan yang cuba mengaitkan beberapa pemimpin negeri dalam isu berprofil tinggi melibatkan lesen perlombongan mineral di Sabah, yang kini sedang hangat diperkatakan.
