LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing ditahan dalam satu serbuan khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu tengah hari kelmarin kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah serta memiliki senjata berbahaya.
Suspek yang berusia 45 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah itu ditahan sekitar jam 12.00 tengah hari di hadapan sebuah kedai runcit di Jalan Lahad Datu–Sandakan.
Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, lelaki terbabit bertindak agresif dan cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan dengan anggota polis yang bertugas.
Suspek akhirnya berjaya ditahan hasil tindakan pantas pasukan operasi.
“Hasil pemeriksaan, pihak polis menemui sebuah beg kecil bertulis Happy Smile yang mengandungi satu paket plastik berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 10.96 gram, serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
“Selain itu, sebilah parang berbentuk sabit turut ditemui diselitkan di pinggang seluar suspek,” katanya di sini, hari ini.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Suspek kini ditahan dan disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pengedaran dadah); Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (penyalahgunaan dadah); dan Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (memiliki senjata tanpa izin).
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara, denda serta sebatan.
Pihak Polis Diraja Malaysia menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat terus terpelihara.
