KINABATANGAN: Seorang lelaki yang dilaporkan dikhuatiri terjun ke dalam Sungai Kinabatangan berhampiran Kampung Bilit, Sukau, akhirnya ditemui dalam keadaan tidak bernyawa malam semalam selepas lebih 12 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh pasukan penyelamat.
Menurut kenyataan rasmi dari Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, mangsa dikenali sebagai Mohd Zulkarnain Yusuf, 42 tahun, dipercayai telah terjun ke sungai sekitar jam 6.00 pagi pada 28 Jun 2025.
“Kejadian dimaklumkan kepada pihak bomba oleh Balai Polis Kampung Sukau melalui panggilan kecemasan yang diterima pada jam 9.12 pagi, 29 Jun.
“Sebaik menerima maklumat, sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan yang diketuai oleh PBK II Zia Hairil Shah Hamzah digerakkan ke lokasi sejauh 60 kilometer dan tiba pada jam 10.20 pagi,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Operasi SAR dijalankan secara water surface searching meliputi kawasan sejauh 3 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjun.
Misi turut disertai oleh anggota dari agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan orang awam.
“Pada jam 9.45 malam, pasukan menerima maklumat daripada orang awam bahawa mangsa telah dijumpai pada jarak kira-kira 1.5 kilometer dari jeti Kampung Bilit.
“Pasukan bomba segera ke lokasi dan membantu mengangkat mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” jelas kenyataan itu lagi.
Operasi ditamatkan secara rasmi pada jam 11.40 malam setelah pasukan penyelamat memastikan tiada lagi ancaman atau bahaya lain di kawasan kejadian.
JBPM Sabah merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi ini dan menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan berhampiran sungai, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
