TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) Plus merupakan kerajaan yang prihatin dan peka terhadap keperluan rakyat.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif pembangunan dan bantuan telah serta sedang dilaksanakan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri, khususnya di kawasan luar bandar.
“Di kawasan Sulaman sahaja, banyak projek telah siap termasuk pembinaan Rumah Mesra SMJ, naik taraf jalan raya, jambatan, dan jeti. Lebih banyak lagi projek sedang dirancang untuk manfaat rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Suang Olung 2025, pelancaran Persatuan Pembangunan Lotud Sabah (SALDA), dan perasmian Dewan Orang Tua Kari Bin Guban di Kampung Tutu Selupoh, semalam.
Ketua Menteri turut memberi jaminan bahawa sekiranya GRS diberikan mandat sekali lagi dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, kerajaan negeri akan meneruskan lebih banyak projek pembangunan, termasuk projek pembinaan jambatan simen Labuaya yang sekian lama dinantikan.
“Insya-Allah, lebih banyak pembangunan akan dibawa ke Sulaman dan kawasan sekitarnya jika GRS terus diberi kepercayaan,” ujarnya.
Dalam ucapannya, Hajiji yang juga ADUN Sulaman turut menyeru masyarakat Dusun Suang Lotud agar terus kekal bersatu padu, mengamalkan semangat kerjasama dan gotong-royong demi masa depan yang lebih cerah.
“Saya mahu masyarakat Suang Lotud menjadi satu komuniti yang hebat dan tidak ketinggalan,” tegasnya.
Beliau menekankan bahawa pemikiran positif adalah kunci untuk melonjakkan komuniti Suang Lotud agar setanding dengan etnik-etnik lain di Sabah.
“Melalui minda yang progresif dan berdaya saing, saya yakin Suang Lotud mampu maju bersama arus pembangunan negeri,” katanya.
Hajiji juga mengingatkan agar budaya dan tradisi Suang Lotud terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda.
Pesta Kaamatan Suang Olung 2025 yang dianjurkan oleh SALDA melibatkan penyertaan dari sembilan buah kampung iaitu Kampung Tutu, Penampang Baru, Limposu, Roun, Kiwatu, Labuaya, Selupoh, D’Angki dan D’Mulus.
Majlis tersebut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan tradisi masyarakat Suang Lotud sebagai simbol kekayaan warisan etnik tersebut.
