KOTA KINABALU:Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin, menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kenderaan yang berlarutan di Hospital Queen Elizabeth I (QEH I), isu yang telah lama membebani penduduk sekitar Kota Kinabalu.
Menurut Chan, isu ini akhirnya mendapat perhatian serius di peringkat persekutuan, susulan pertemuan antara Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah merangkap ADUN Luyang, Datuk Phoong Jin Zhe, dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, awal tahun ini.
“Phoong telah membawa isu ini ke perhatian Menteri Kesihatan Persekutuan mewakili kerajaan negeri dan maklum balas yang diterima amat positif serta menggalakkan.
“Kita akan terus mendesak agar penyelesaian yang praktikal dapat dilaksanakan bagi memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan awam lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program War on Sugar Kota Kinabalu yang berlangsung di tempat letak kereta bertingkat Foh Sang, Luyang baru-baru ini.
Chan turut memaklumkan bahawa pembukaan fasiliti parkir baharu tersebut telah banyak membantu mengurangkan kesesakan trafik dan masalah parkir di kawasan sekitarnya.
Chan, yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, turut mendedahkan bahawa satu projek pembangunan bersepadu yang merangkumi komponen perubatan dan komersial akan dibangunkan berhampiran HQE II.
“Projek ini dijangka menyediakan kira-kira 1,500 petak parkir yang mampu meringankan masalah trafik dan tempat letak kereta di kawasan tersebut,” katanya.
