ISKANDAR PUTERI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) secara rasmi melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 bertemakan “Jom Beli Lokal”, bersempena pembukaan Jelajah Karnival KPDN 2025 peringkat Zon Selatan yang berlangsung selama tiga hari di Puteri Harbour, Johor.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kempen ini merupakan inisiatif strategik KPDN bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi domestik melalui sokongan berterusan terhadap produk buatan tempatan.
“Ia turut memberi tumpuan khusus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam memperluas jaringan pasaran mereka.
“Kempen ini bukan sahaja memacu jualan domestik tetapi juga memposisikan produk tempatan sebagai pilihan utama rakyat, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada barangan import,” katanya dalam satu kenyataan.
Karnival Zon Selatan ini merupakan permulaan kepada siri jelajah melibatkan enam zon seluruh negara, iaitu Johor, Kedah, Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak, susulan kejayaan edisi 2024 yang menarik lebih 761,000 pengunjung.
Usaha mempromosi pembelian barangan tempatan akan digerakkan melalui pendekatan menyeluruh yang melibatkan bukan sahaja KPDN, malah kementerian lain, agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
KPDN juga bekerjasama dengan platform e-dagang utama seperti TikTok, Shopee, dan Lazada, yang telah mencatat jualan lebih RM347 juta di bawah KBBM sepanjang 2023–2024, melibatkan hampir 700,000 produk (SKU).
Sektor perdagangan pengedaran Malaysia kekal kukuh dengan nilai jualan mencecah RM1.766 trilion pada Disember 2024, meningkat 5.5% berbanding tahun sebelumnya. KPDN yakin trend pertumbuhan ini dapat dimanfaatkan untuk melonjakkan lagi kempen KBBM dan usaha penembusan produk tempatan ke peringkat global menerusi program Local to Global Retail.
Inisiatif “Jom Beli Lokal” ini dijangka menjadi pemangkin penting dalam membina ekosistem ekonomi yang lebih lestari, berdaya tahan dan berpaksikan produk tempatan dalam era cabaran ekonomi semasa.
