TAWAU: Seorang wanita berusia 20 tahun ditahan polis selepas disyaki menyerang dan mengugut seorang remaja perempuan dalam kejadian di sekitar kawasan Merotai Besar, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata suspek diberkas sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai kira-kira jam 11.50 malam, hasil tindakan pantas polis selepas menerima laporan daripada mangsa beberapa jam sebelum itu.
Menurut beliau, kejadian berlaku sekitar jam 2 petang ketika mangsa berusia 19 tahun sedang berehat di rumahnya sebelum didatangi suspek yang mahu berbincang mengenai isu peribadi berkaitan anak saudara mangsa.
“Perbincangan tersebut bertukar tegang apabila suspek tiba-tiba naik marah, lalu menyerang mangsa dengan mencekik leher, menumbuk bahu kiri, dan mengugut untuk mencederakan mangsa,” jelas Jasmin.
Mangsa yang ketakutan bertindak membuat laporan di Balai Polis Bombalai pada jam 9.25 malam hari yang sama.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan. Jika sabit kesalahan, suspek boleh berdepan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
ACP Jasmin menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada menyelesaikan pertikaian secara kekerasan dan tidak bertindak mengikut emosi.
“Tindakan melulu seperti ini bukan sahaja membahayakan orang lain, malah boleh membawa kepada tindakan undang-undang yang serius. Laporkan kepada pihak polis untuk penyelesaian sewajarnya,” tegasnya.
