KIULU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menggesa Kerajaan Sabah agar menambah bilangan kakitangan di Unit Ukur Program Pengurusan Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) di Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program tersebut.
Menurut beliau, pengurangan tenaga kerja di unit berkenaan memberi kesan langsung terhadap keupayaan JTU melaksanakan projek penyukatan tanah dan seterusnya menjejaskan perbelanjaan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Saya dimaklumkan bahawa jumlah kakitangan di Unit Ukur PANTAS telah berkurangan daripada 60 orang kepada hanya 40 orang, menjadikan pasukan yang dahulunya 12 kini tinggal hanya 8 pasukan. Malah, kakitangan yang menguruskan dokumentasi juga telah berkurangan daripada 8 kepada hanya 3 orang,” katanya semasa merasmikan Majlis Dialog PANTAS di Dewan Kg. Lokos, Kiulu pada Selasa.
Beliau menyatakan kebimbangan terhadap kesan langsung daripada isu kekurangan tenaga kerja ini, yang menyebabkan peruntukan sebanyak RM100 juta dari Kerajaan Persekutuan – yang sepatutnya diagihkan secara berperingkat sebanyak RM20 juta setahun dari 2021 hingga 2025 – tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Setakat ini, hanya RM68 juta berjaya dibelanjakan: RM20 juta (2021), RM6.97 juta (2022), RM10 juta (2023), RM20 juta (2024), dan RM12 juta yang dijangka untuk 2025. Masih ada RM31 juta yang belum dilaksanakan,” ujarnya.
Madius yang juga bekas Menteri Persekutuan menegaskan bahawa beliau sentiasa menyuarakan isu ini di Dewan Rakyat agar peruntukan terus diberikan dan ditambah untuk memastikan tanah-tanah adat milik anak Negeri Sabah yang belum bergeran dapat diselesaikan.
“Namun, sekiranya JTU tidak mempunyai keupayaan pelaksanaan yang mencukupi, maka sia-sialah usaha dan perjuangan kita,” katanya.
Madius turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri atas pelaksanaan Program PANTAS yang telah memberi manfaat kepada lebih 84,000 pemilik tanah adat Sabah sejak ia dimulakan pada tahun 2011.
Program ini melibatkan keluasan keseluruhan tanah lebih 484 juta ekar di seluruh negeri.
Beliau memaklumkan bahawa Pusat Khidmat Parlimen Tuaran juga akan menghantar cadangan tambahan bagi beberapa kampung lain untuk disertakan dalam penyukatan tanah secara PANTAS.
“Kita tidak mahu rakyat terus menunggu dan terpinggir hanya kerana kekangan operasi. Penyelesaian segera terhadap isu kakitangan amat diperlukan demi kelangsungan dan kejayaan program ini,” tambah beliau.
