SOOK: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh semasa mandi-manda di sebuah sungai berhampiran Kampung Pinipi Lanas, dekat sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 4.40 petang melalui sistem MERS999.
Menurut kenyataan JBPM Sabah, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 45 kilometer dari balai.
“Komander Operasi, PBK II Obbie Wilson Pairin mengetuai operasi yang turut disertai dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata kenyataan itu, di sini, hari ini.
Sebelum pasukan bomba tiba di lokasi, mangsa telah berjaya ditemui oleh orang awam melalui kaedah menyelam pada jam 5.15 petang.
Pegawai Perubatan KKM yang hadir di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
JBPM Sabah menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan, terutama ketika menjalankan aktiviti air, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.00 petang.
