KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Aksyah Nasrah, menyifatkan langkah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan Plus (PH Plus) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah sebagai satu tindakan bijak dan berteraskan prinsip balas budi, bukannya petanda kelemahan.
Beliau menegaskan bahawa Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, tidak pernah mengisytiharkan secara mutlak bahawa GRS akan bertanding secara solo dalam PRN akan datang. Sebaliknya, pengumuman itu hanyalah respons kepada tindakan Sekretariat PH-BN Pusat yang mengumumkan kerjasama mereka tanpa terlebih dahulu merujuk GRS sebagai parti pemerintah negeri.
“Hakikatnya, kerjasama ini adalah tanda terima kasih kepada pemimpin PH Plus yang terus menyokong kerajaan GRS selepas Langkah Kinabalu, yang sedikit sebanyak menjejaskan kestabilan politik Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Aksyah turut mengkritik pihak pembangkang yang menurutnya menyindir keputusan GRS untuk kembali bekerjasama dengan PH Plus, kononnya sebagai bukti ketidakyakinan bergerak secara solo.
“Lucu bila pembangkang mempersenda kononnya Hajiji tidak berani bergerak solo. Sedangkan jelas beliau menyatakan akan bergerak solo sekiranya keputusan Sekretariat PH, BN diteruskan. Malah, kenyataan itu telah mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke Sabah untuk membuka semula rundingan,” tambahnya.
Beliau juga menolak dakwaan kononnya terdapat perpecahan dalam GRS, dengan menjelaskan bahawa perbezaan pandangan adalah lumrah dalam parti berpengalaman dan tidak boleh dianggap sebagai perpecahan dalaman.
“Kita dalam GRS menghormati pandangan semua pemimpin. Perbezaan pendapat adalah tradisi, bukan petanda retak,” tegasnya, sambil menyindir UMNO/BN yang menurutnya kini lebih bergolak dan berpecah sesama sendiri.
Aksyah turut menyeru ahli dan penyokong GRS agar bersikap terbuka dan menerima keputusan kepimpinan dengan “dengar dan patuh”, sambil memperkuat jentera pilihan raya serta memperkukuh mentaliti menang menjelang PRN-17.
“Kita boleh kalah bukan kerana lawan kuat, tetapi kerana kelemahan dalaman kita sendiri. Bertanding solo itu baik, tetapi bergabung dengan rakan strategik lebih memberi impak berpanjangan,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa membentuk GRS merupakan satu pengorbanan ego politik oleh pemimpin-pemimpin tempatan Sabah demi membina satu blok politik yang lebih kuat dan berpaksikan rakyat.
“50 kerusi DUN yang bakal ditandingi cukup jelas menggambarkan dominasi parti tempatan di pentas politik Sabah. Kita yang memandu arah politik, ekonomi dan sosial negeri ini,” katanya lagi.
Aksyah mengakhiri kenyataannya dengan menegaskan bahawa kerjasama antara GRS dan PH Plus bukan sekadar strategi politik, tetapi satu langkah penting ke arah mengekalkan kestabilan politik Sabah dan menjamin hubungan harmoni dengan Kerajaan Persekutuan.
