KOTA KINABALU – Naib Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul bin Ibrahim, mempersoalkan keikhlasan slogan “Selamatkan Sabah” yang digunakan oleh Parti Warisan, dan menegaskan parti itu sebagai punca sebenar kepada kelewatan projek lebuh raya Pan Borneo dan krisis bekalan air di negeri ini.
Menurut Azrul, ketika Warisan memerintah Sabah pada tahun 2019, mereka telah membatalkan kontrak Project Delivery Partner (PDP) bagi projek Pan Borneo, sekali gus menyebabkan pembinaan lebuh raya tergendala. Tambahnya, dasar tidak efektif kerajaan Warisan, ditambah pula dengan impak pandemik COVID-19, menyebabkan projek mega tersebut terpaksa dihentikan dan menjejaskan rakyat.
“Projek Pan Borneo sepatutnya telah siap lebih awal, namun akibat kegagalan dasar kerajaan Warisan, ia ditangguhkan dan membawa kesan negatif kepada rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Azrul turut menyentuh isu air yang berlarutan di negeri ini. Katanya, keputusan tergesa-gesa kerajaan Warisan pada tahun 2019 untuk menamatkan kontrak enam syarikat konsesi air yang mengurus 58 loji rawatan air telah menyebabkan pengurusan air menjadi tidak cekap. Keputusan tersebut juga mengakibatkan kerajaan negeri kini terpaksa membayar pampasan lebih RM315 juta kerana penamatan kontrak yang tidak sah dari segi undang-undang.
“Wang pampasan itu sepatutnya boleh digunakan untuk membina kapasiti infrastruktur air yang lebih efisien, bukan dibazirkan kerana keputusan terburu-buru,” tegasnya.
Beliau menambah, kini pimpinan Warisan cuba menuding jari kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas kegagalan menangani isu air dan jalan raya, sedangkan kegagalan itu berpunca daripada tindakan mereka sendiri sebelum ini.
Sebaliknya, menurut Azrul, kerajaan pimpinan Hajiji telah meneruskan dasar-dasar pembangunan untuk rakyat. Pelbagai projek telah dan sedang dilaksanakan bagi menambah baik bekalan air dan mempercepat pembinaan Pan Borneo.
Antara langkah yang diambil termasuk pembinaan loji rawatan air baharu, penambahan kapasiti loji sedia ada, pembinaan empangan dan penggantian paip usang. Bagi projek lebuh raya Pan Borneo pula, empat daripada 16 pakej Fasa 1A telah siap, manakala baki dijangka siap menjelang 2026. Selain itu, 19 pakej di bawah Fasa 1B telah selesai proses perolehannya pada tahun 2024.
“Mengambil kira cabaran bentuk muka bumi Sabah, kelewatan bahan mentah, dan isu pengambilalihan tanah, kerajaan negeri tetap komited memastikan projek-projek ini berjaya disiapkan demi kepentingan rakyat,” ujar Azrul lagi.
Beliau menyeru rakyat Sabah agar menilai secara bijak dan tidak mudah terpedaya dengan retorik politik yang hanya bersandarkan slogan semata-mata.
“Adakah kita mahu sekali lagi menyerahkan masa depan Sabah kepada mereka yang telah gagal? Saya yakin rakyat Sabah bijak menilai. Inshaa Allah, di bawah pimpinan DSP Hajiji, Sabah akan terus maju walau berdepan pelbagai cabaran,” katanya.
Sumber: Facebook Pemuda Gagasan Rakyat Sabah
