KOTA KINABALU: Perubahan zaman menyaksikan jurang ketara dalam cara mendidik anak-anak. Namun, bagi ramai yang membesar dalam era sebelum wujudnya gajet pintar dan media sosial, didikan masa lalu dikatakan lebih membentuk jiwa yang kental, berdikari, dan tahan uji.
Zaman dahulu bukanlah zaman yang mudah. Anak-anak membesar dengan rutin sederhana, bermain di taman permainan, menonton rancangan TV terhad, menjawab buku latihan, dan dalam sesetengah keadaan, diiringi teguran dalam bentuk rotan. Namun daripada suasana itulah mereka belajar erti jatuh dan bangun, salah dan hukuman, sabar dan usaha.
“Jatuh, selagi tidak patah riuk, bangunlah sendiri. Buat silap, terimalah akibat. Dan sabar apabila tidak dapat apa yang dihajati,” demikian antara nilai asas yang dikongsikan oleh Public Health Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.
Tambah PHM, masyarakat ketika itu, lebih memahami nilai sesuatu perkara kerana pernah merasai kekurangan. Mereka tidak membesar dengan kemewahan maklumat atau hiburan di hujung jari. Apa yang dimiliki, dihargai. Apa yang dimahukan, perlu diusahakan. Jiwa mereka terbina atas ketabahan, bukan kesenangan.
“Namun dalam realiti hari ini, cara mendidik sudah banyak berubah dengan kehadiran teknologi, tekanan akademik yang meningkat, dan perubahan gaya hidup yang ketara. Namun begitu, nilai-nilai asas seperti sabar, disiplin, tanggungjawab dan ketabahan masih relevan dan wajar diterapkan.
“Kita tak perlu tiru bulat-bulat cara dulu, tapi kita boleh ambil semangatnya dan sesuaikan dengan zaman sekarang,” kongsinya lagi.
Pakar-pakar pendidikan turut bersetuju bahawa pendekatan keibubapaan masa kini harus seimbang antara kasih sayang dan ketegasan, antara memberi dan mengajar untuk berusaha.
“Tidak salah memanjakan anak-anak, asalkan mereka juga diajar untuk kuat. Diajar erti kecewa, usaha dan bangkit semula,” tambah kenyataan tersebut, mengingatkan masyarakat bahawa kekuatan mental dan emosi anak-anak masa kini akan menjadi penentu keupayaan mereka menghadapi dunia yang kian mencabar.
Dalam usaha membesarkan generasi masa depan, mungkin kita tidak lagi bergantung kepada rotan, tetapi prinsip yang sama bahawa hidup memerlukan ketabahan dan tanggungjawab tetap kekal relevan.
Dan di situlah letaknya keunikan didikan dahulu: bukan sekadar membentuk anak yang berjaya, tetapi insan yang tahu bagaimana untuk terus melangkah walau dunia tidak memihak.
Sumber: PHM
