LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah terus memperkukuh usaha membanteras jenayah penyeludupan apabila berjaya merampas sejumlah besar rokok seludup di kawasan bakau Kampung Puyut, di sini, baru-baru ini.
Dalam operasi yang dijalankan, PPM Lahad Datu berjaya merampas sebanyak 238 karton rokok jenama Astro Black Menthol dan 149 karton rokok jenama A Satu Mild Menthol, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM149,318.40.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Nazri Ibrahim berkata, kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“Rampasan ini adalah hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan oleh anggota kami, ia merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PPM Wilayah 4 dalam memerangi kegiatan penyeludupan yang mengancam keselamatan dan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, dan pihak berkuasa sedang giat mengesan individu yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan tersebut.
ACP Nazri turut menegaskan bahawa PPM Wilayah 4 Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat kedaulatan dan keselamatan perairan negara.
“Kami menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat agar tindakan segera dan berkesan dapat diambil,” tambah beliau.
