Abqaree Fawwaz Abekan, Presiden Majlis Belia Sabah
KOTA KINABALU: Cadangan untuk melanjutkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun berisiko memburukkan lagi kadar pengangguran di Sabah, kata Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan.
Menurut beliau, Sabah yang kini mencatat kadar pengangguran tertinggi di negara ini sekitar 7.7 peratus, akan terus terhimpit sekiranya peluang pekerjaan dalam sektor awam terus didominasi oleh golongan berusia.
“Walaupun kadar penyertaan tenaga buruh di Sabah adalah kedua tertinggi selepas Selangor dengan 2.3 juta orang, langkah melanjutkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun adalah langkah ke belakang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Abqaree berpandangan bahawa kerajaan seharusnya mengekalkan had umur persaraan wajib sedia ada dan memberi keutamaan kepada generasi muda untuk menyertai sektor perkhidmatan awam.
“Golongan muda secara umumnya lebih bertenaga dari segi fizikal dan mempunyai literasi teknologi yang lebih tinggi berbanding mereka yang lebih berusia. Potensi ini wajar dimanfaatkan untuk mempertingkat produktiviti sektor awam,” ujarnya.
Sebelum ini, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid turut menyatakan kebimbangan terhadap cadangan perlanjutan umur persaraan, yang disifatkan tidak selari dengan keperluan semasa pasaran pekerjaan.
