KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, hari ini menafikan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Junz Wong, yang menyifatkan tindakan penguatkuasaan terhadap penyimpanan gas petroleum cecair (LPG) sebagai satu beban baharu kepada peniaga kecil dan rakyat.
Armizan menyifatkan kenyataan Junz Wong sebagai bermotif politik dan cubaan mengelirukan rakyat dengan menggambarkan seolah-olah wujud dasar baharu kerajaan berhubung penggunaan LPG.
“Perkara yang dibangkitkan bukan dasar baharu di bawah Kerajaan Madani, malah ia berasaskan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021, ketika pentadbiran kerajaan terdahulu,” jelas beliau.
Menteri KPDN turut menjelaskan bahawa notis yang dirujuk oleh ADUN Tanjung Aru bukanlah kompaun kesalahan tetapi merupakan Kenyataan Pemeriksaan Premis, iaitu dokumen standard yang digunakan semasa pemeriksaan rutin oleh pegawai penguat kuasa.
“Peraturan hanya memerlukan mana-mana premis yang menyimpan LPG melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa – bersamaan lebih tiga tong gas 14 kg – untuk memohon Permit Barang Kawalan. Kebanyakan gerai kecil tidak menyimpan melebihi had ini,” katanya.
Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut mempersoalkan tindakan ADUN Warisan itu yang mengkritik polisi kerajaan persekutuan sedangkan partinya adalah sebahagian daripada gabungan di peringkat pusat.
“Subsidi LPG telah mencecah RM3.4 bilion pada tahun 2024. Ia adalah subsidi pengguna, bukan untuk menampung kos operasi perniagaan berskala besar,” tegas beliau.
Beliau turut mencabar Junz Wong untuk mengemukakan contoh premis yang benar-benar terkesan secara langsung akibat peraturan ini agar pihak kementerian dapat meneliti dan menyemak keadaan sebenar.
