KOTA KINABALU: “Kita settle dulu problem kita di dalam. Right now, important for us to have our unity within the coalition so that we can move forward lah,” ujar Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan ketika mengulas mengenai perkembangan pembahagian kerusi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Jelasnya, perbincangan awal sudah diadakan dalam kalangan parti-parti komponen GRS, namun menegaskan bahawa keutamaan pada masa ini adalah menyelesaikan sebarang isu dalaman terlebih dahulu.
Tegas Timbalan Ketua Menteri itu, keutamaan GRS ketika ini adalah memastikan perpaduan dalaman yang kukuh sebelum memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan pembahagian kerusi menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Jeffrey turut meminta semua pihak agar bersabar mengenai perbincangan pembahagian kerusi antara parti-parti dalam gabungan tersebut.
“Tunggu saja,” katanya ringkas ketika ditanya media mengenai perkembangan kerjasama pembahagian kerusi tersebut.
Mengulas mengenai kemungkinan kerjasama antara GRS, PH, BN, beliau berkata pihaknya terbuka dengan sebarang bentuk kerjasama asalkan demi kestabilan politik negeri dan kehendak rakyat.
“We will work with anybody for the sake of kita punya political stability. Because we have to listen to the rakyat. So if majority rakyat say A, we have to respond A lah,” katanya.
Menyentuh senario politik semasa yang menggambarkan persaingan antara gabungan parti tempatan dan nasional, Jeffrey menyifatkannya sebagai terlalu awal untuk dibuat sebarang kesimpulan.
“That word I hear also, but too early to conclude anything lah because lama lagi,” tambah beliau.
