SAN DIEGO – Sekurang-kurangnya dua orang disahkan maut dan lapan lagi cedera selepas sebuah pesawat kecil terhempas di sebuah kawasan perumahan di San Diego awal pagi Khamis, menyebabkan tumpahan bahan api jet dan kebakaran besar yang merosakkan kira-kira 10 bangunan dan beberapa buah kenderaan, menurut pihak bomba.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat jet persendirian itu terhempas hanya beberapa saat sebelum mendarat sekitar jam 3:45 pagi waktu tempatan.
Lima orang telah dihantar ke hospital akibat terhidu asap, manakala seorang lagi cedera ketika cuba melarikan diri melalui tingkap. Dua orang lagi menerima rawatan ringan di pusat pemindahan dan tiada yang dihantar terus dari tempat kejadian ke hospital.
Menurut Timbalan Ketua Operasi Kecemasan Bomba San Diego, Dan Eddy, semua kematian dipercayai adalah dari dalam pesawat. Bilangan sebenar penumpang masih belum diketahui.

Beberapa rumah musnah teruk akibat nahas tersebut. Satu daripadanya musnah sepenuhnya. Eddy menggambarkan keadaan lokasi nahas sebagai “seperti babak dalam filem”.
Kabut tebal menyelubungi kawasan tersebut pada waktu kejadian. Eddy berkata beliau hanya dapat melihat sejauh 40 hingga 50 kaki sahaja di hadapan.
Dalam rakaman komunikasi trafik udara beberapa minit sebelum nahas, juruterbang dilaporkan bertanya mengenai keadaan cuaca. Kawalan trafik memaklumkan bahawa stesen cuaca di Lapangan Terbang Montgomery sedang tidak berfungsi dan memberikan maklumat cuaca dari Lapangan Terbang Miramar berdekatan.
“Ugh, bunyinya tidak begitu baik, tapi kami akan cuba juga,” jawab juruterbang.
Pesawat tersebut sedang dalam penerbangan dari Wichita, Kansas ke Lapangan Terbang Montgomery Gibbs di San Diego. Menurut rekod FlightRadar24, ia berlepas dari Teterboro sebelum singgah di Wichita dan berlepas ke San Diego pada jam 2:35 pagi waktu tempatan.
Ketinggian pesawat terakhir dikesan adalah sekitar 500 kaki, menurut FAA.
Lebih 100 orang terpaksa dipindahkan akibat nahas. Kawasan Murphy Canyon, tempat kejadian, merupakan salah satu kawasan perumahan tentera terbesar di dunia, menurut Pegawai Pemerintah Pangkalan Tentera Laut San Diego, Kapten Robert Heely.
Beberapa sekolah rendah di kawasan itu terpaksa ditutup sementara waktu.

Datuk Bandar San Diego, Todd Gloria, menyatakan pihak bandar akan memberikan bantuan kepada keluarga yang terkesan, terutama kerana ramai dari mereka adalah komuniti tentera yang menyumbang besar kepada bandar itu.
Menurut Gloria, beberapa faktor menyumbang kepada kejadian ini, termasuk jarak penglihatan yang rendah serta pesawat yang tersangkut pada kabel penghantaran elektrik sebelum terhempas ke kawasan perumahan.
“Kami akan tunggu keputusan siasatan penuh dari pihak persekutuan, namun buat masa ini ini adalah satu tragedi besar,” katanya dalam wawancara bersama ABC News Live.
Pesawat berkenaan mempunyai kapasiti 8 hingga 10 orang termasuk juruterbang, namun jumlah sebenar penumpang masih belum dapat dipastikan.
Ketua Polis San Diego, Scott Wahl, menyifatkan kejadian itu sangat mengerikan.
“Sukar digambarkan… bahan api jet mengalir di jalan, semuanya terbakar serentak. Ia satu pemandangan yang sangat mengerikan. Tetapi anggota polis dan bomba yang bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa benar-benar wira,” katanya.
Penduduk telah dipindahkan ke sekolah berdekatan. Pihak berkuasa pergi dari rumah ke rumah bagi memastikan tiada mangsa terperangkap.
“Saya separuh tidur, nampak cahaya terang di tingkap dan dengar dentuman,” kata Jennifer Hoffman, penduduk yang tinggal beberapa blok dari tempat kejadian. “Saya sangka kilat… saya periksa cuaca, tiada hujan. Lepas tu saya dengar bunyi letupan berulang kali, dan saya nampak kawasan belakang rumah menyala merah terang. Ia sangat mengerikan.”
Menurut Eddy, pesawat itu terus melanggar beberapa rumah dan kenderaan, membakarnya sebelum meluncur di sepanjang jalan.
“Tiba-tiba berlaku letupan besar, saya terjaga dan nampak api betul-betul di hadapan rumah,” kata Jessica Schrader, seorang lagi penduduk. “Saya hanya dengar bunyi letupan berterusan dan api hampir sampai ke pintu rumah saya. Saya cuba fikir cara nak selamatkan anak-anak.”
“Kami menjerit panggil jiran, dan mereka letakkan tangga di pagar mereka yang setinggi 8 kaki. Kami panjat tangga dan terjun ke atas trampolin mereka untuk menyelamatkan diri,” tambahnya.
Tiada panggilan mayday dibuat sebelum nahas ini. Komunikasi terakhir hanya menyatakan pesawat berada 3 batu dari destinasi dan bersedia mendarat. Menara kawalan ketika itu ditutup, dan ia adalah prosedur standard.
Kawasan perumahan itu kini masih dalam keadaan ditutup sepenuhnya sementara siasatan dijalankan.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) turut menuju ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.
