TAWAU: Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan merampas 50.06gram syabu yang dianggarkan bernilai RM1750.00 dalam Op Tapis di sekitar daerah Tawau baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata berdasarkan risikan, polis menahan seorang lelaki berumur 40 tahun kelihatan mencurigakan ketika serbuan dibuat di kawasan batu 4, Jalan Apas.
“Hasil pemeriksaan tubuh badan menjumpai 80 paket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi hablur jernih disimpan didalam beg silang milik suspek.
“Semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek pernah ditangkap atas kesalahan Seksyen 15(1)a Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kes akan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman yang diberikan oleh Mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah juga disebat tidak kurang 15 sebatan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Tambahnya, polis kini giat sedang memburu saki baki anggota sindiket dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya supaya menghubungi polis dengan menelefon talian hotline IPD Tawau 089-772121 atau Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membantu pihak berkuasa membanteras dadah.
