TAWAU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setuju untuk Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengetuai rundingan dalam menentukan kerjasama antara parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
“Datuk Seri Hajiji bagi pandangan bahawa harus ditingkatkan kerjasama di antara GRS dan PH.
“Kemudian rundingan sama ada GRS dengan Barisan Nasional (BN) itu, saya serah kepada GRS.
“Kita PH memang setuju supaya bagi kepada kepimpinan diketuai Hajiji untuk runding dan cari penyelesaian terbaik ke depan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat (PMR) 2025 di sini pada Ahad.
Hajiji terdahulu menegaskan bahawa GRS sedia bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti- parti tempatan lain yang sehaluan bagi menghadapi PRN Sabah akan datang sambil menambah bahawa parti-parti tempatan harus menjadi tonggak kepada kerajaan negeri.
“Kita berpegang kepada prinsip bahawa kerajaan negeri Sabah seharusnya dipimpin oleh parti tempatan yang memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat — tanpa mengetepikan peranan dan kepentingan parti-parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.
“Sekiranya keputusan muktamad Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti- parti tempatan lain yang sehaluan.
“Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah,” katanya bagi memberi maklum balas susulan kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh PH dan BN untuk mereka bekerjasama dalam menghadapi PRN Sabah.
