
TONGOD: Seorang lelaki bersama anak lelakinya dilaporkan mengalami cedera parah selepas ditikam oleh dua suspek warga asing menggunakan senjata tajam di kebun sawit milik mereka dalam kejadian di Kampung Napagang, Entilibon pada Sabtu lalu (1 Feb).
Ketua Polis Daerah Beluran, Supt Hasan Majid berkata, Balai Polis Telupid menerima laporan mengenai kejadian itu daripada isteri mangsa yang mengatakan suami, 50 tahun dan anaknya,23 tahun ditikam oleh pekerja mereka menggunakan alat besi untuk mengangkat buah sawit.
“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan, belakang, lengan dan paha akibat tikaman senjata tajam.
“Kedua mangsa seterusnya dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent di Sandakan untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Katanya lagi, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang terlibat merupakan pekerja mangsa iaitu warga Indonesia, Anuar, 40an dan Saril berumur 20an.
“Selepas mencederakan mangsa, mereka melarikan diri dengan membawa lari Toyota Hilux Single Cab berwarna putih dengan nombor pendaftaran SAB 7801 P, milik mangsa.
“Selain itu, beberapa barang peribadi mangsa seperti dokumen penting, telefon bimbit dan dompet turut dilarikan. Polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan suspek yang masih melarikan diri.
“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sandra di 011-28066182,ASP Henry Ak Linyau di 010-9416656, Balai Polis Beluran (089-511222) atau Balai Polis Tongod (089-748223),” katanya.