Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pemulihan talian elektrik Pantai Timur siap lebih awal – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerja-kerja pemulihan talian penghantaran elektrik yang terjejas di Pantai Timur Sabah berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau dimaklumkan bahawa pasukan Sabah Electricity telah berjaya menyiapkan pembinaan Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) serta menyambung kesemua konduktor talian penghantaran yang terjejas.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja Sabah Electricity atas komitmen, kesungguhan dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan kerja-kerja pemulihan ini.

“Kerajaan Negeri memahami kesulitan yang dialami rakyat sepanjang tempoh gangguan bekalan elektrik ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat yang terjejas atas kesabaran, sokongan dan kerjasama sepanjang usaha pemulihan dilaksanakan.

Beliau turut menghargai sumbangan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Air Aviation Sdn Bhd, pihak pengurusan SK Sagindai Baru serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah.

“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Sabah Electricity bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah lebih stabil, selamat dan boleh dipercayai demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri,” katanya.

Exit mobile version