KOTA KINABALU: Ketinggian ilmu dan pencapaian akademik semata-mata bukan ukuran sebenar nilai seseorang insan, sebaliknya perlu disertai adab serta nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat.
Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tun Datuk Seri Panglima Dr Musa Aman berkata, dalam mengejar kemajuan intelek, ketinggian adab merupakan benteng paling kukuh dalam pembinaan sesebuah peradaban.
“Ilmu tanpa adab ibarat pohon yang tidak berbuah.
“Justeru, jangan sesekali melupakan adab terhadap para pensyarah, ibu bapa, serta nilai murni dalam berinteraksi dengan masyarakat.
“Nilai seorang insan bukan terletak semata-mata pada tingginya ilmu yang diperoleh, sebaliknya pada adab yang dijunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-28 di Dewan Canselor, di sini, hari ini.
Musa berkata, universiti bukan sekadar institusi pengajian tinggi, malah merupakan gedung ilmu yang mengasuh, mendidik dan menempa minda graduan menerusi pemupukan daya fikir kritis dan kreatif serta pembentukan watak kepimpinan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan graduan agar tidak melupakan jasa dan pengorbanan ibu bapa serta keluarga yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan pengajian mereka.
“Justeru, tatkala melangkah keluar ke alam kerjaya kelak, balaslah budi dan jasa mereka.
“Santunilah mereka dengan kasih sayang, berilah keutamaan kepada kebajikan mereka, dan jadilah anak yang berbakti serta membanggakan keluarga,” katanya.
Musa turut menyeru graduan agar melangkah ke alam kerjaya dengan semangat berani, berintegriti dan beradab, selain berperanan sebagai ejen perubahan yang membawa kebaikan kepada Sabah dan negara.
Majlis Konvokesyen UMS Ke-28 tahun ini meraikan seramai 5,081 graduan daripada pelbagai bidang pengajian, dengan 585 daripadanya diraikan pada sidang pertama.

