KOTA KINABALU: Bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah dijangka pulih sepenuhnya selepas kerja-kerja pembinaan semula menara penghantaran elektrik yang tumbang di Ranau disiapkan dalam tempoh enam hari.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah Electricity kini bertungkus-lumus memulihkan bekalan elektrik di kawasan terjejas, dengan keadaan dilaporkan semakin bertambah baik.
Katanya, penduduk di kawasan terjejas ketika ini sudah menerima bekalan elektrik melalui sumber alternatif, meskipun masih terdapat beberapa kawasan mengalami kekurangan bekalan.
“Menara itu dijangka siap dalam masa enam hari. Buat masa ini, mereka menggunakan sumber simpanan lain dan keadaan semakin bertambah baik.
“Mungkin masih ada beberapa kawasan yang mengalami kekurangan bekalan, tetapi pihak Sabah Electricity akan berusaha menyelesaikannya sebaik mungkin untuk rakyat kita di Pantai Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali Ke-28 di Dewan Canselor UMS, di sini, hari ini.
Hajiji menegaskan kejadian menara penghantaran elektrik itu tumbang berpunca daripada bencana alam dan bukannya perbuatan yang disengajakan.
Beliau turut menyatakan rasa dukacita terhadap kesulitan yang dihadapi penduduk Pantai Timur serta memberi jaminan segala usaha sedang dilakukan bagi memulihkan bekalan elektrik.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri telah meluluskan hampir 3,000 megawatt (MW) kapasiti tenaga bagi memperkukuh bekalan elektrik Sabah dalam jangka panjang.
“Kita telah meluluskan hampir 3,000 megawatt kapasiti tenaga di Sabah, termasuk mini hidro, solar dan turbin angin.
“Dalam tempoh dua tahun dari sekarang, tambahan lebih 1,000 megawatt dijangka dapat disiapkan, manakala selebihnya akan disiapkan menjelang 2030,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Sabah Electricity mempercepatkan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik susulan kejadian menara penghantaran elektrik T313 tumbang di Ranau.
Anwar turut meminta supaya penyediaan bekalan elektrik sementara mengutamakan sekolah, pusat peperiksaan dan kemudahan awam kritikal, khususnya bagi membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menduduki peperiksaan.

