KOTA KINABALU: Tiga bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) iaitu Luyang, Likas dan Api-Api menyatakan kesediaan bersama untuk meletakkan calon bagi merebut kerusi Parlimen Kota Kinabalu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketiga-tiga bahagian itu turut menegaskan bahawa PBS sebagai parti politik berbilang kaum yang berakar umbi di Sabah dan mempunyai rekod perjuangan politik yang panjang wajar diberikan peluang bertanding di kerusi berkenaan.
Pendirian itu dicapai menerusi pertemuan bersama Ketua PBS Bahagian Luyang, Goon Tien Shang; Ketua Bahagian Likas, Soo Chee Yong dan Ketua Bahagian Api-Api, Yee Tsai Yiew pada Khamis.
Goon berkata, PBS mempunyai sejarah panjang di Kota Kinabalu dan terus berkhidmat kepada masyarakat sejak penubuhannya pada 1985.
“PBS mempunyai sejarah panjang di Kota Kinabalu dan telah berkhidmat kepada rakyatnya selama lebih empat dekad,” katanya.
Sementara itu, Soo berkata, kesepakatan antara ketiga-tiga bahagian berkenaan mencerminkan kekuatan dan solidariti dalam parti.
“Perpaduan ini memberikan kami keyakinan dan kekuatan untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Kinabalu,” katanya.
Dalam pada itu, Yee menegaskan bahawa ketiga-tiga bahagian akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa sahaja calon yang dipilih untuk mewakili PBS.
“Matlamat bersama kami adalah untuk mengetengahkan calon yang berpotensi menang serta menyumbang kepada usaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merampas semula kerusi Parlimen Kota Kinabalu,” katanya.
Ketiga-tiga ketua bahagian itu turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama, tertakluk kepada keputusan kepimpinan parti dan gabungan.
Menurut mereka, penyertaan PBS penting bagi memberikan pilihan yang berwibawa kepada pengundi, sekali gus mencerminkan kepelbagaian masyarakat di Kota Kinabalu.

