Site icon TUHAU BAMBANGAN

UiTM Tawau tidak akan ditutup, kapasiti pelajar digandakan menjelang 2030 – Nizam

KOTA KINABALU: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tawau tidak akan ditutup, sebaliknya kapasiti kampus berkenaan akan ditingkatkan daripada 250 kepada 500 pelajar menjelang tahun 2030.

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu sesi perbincangan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Menara Kinabalu, pada Jumaat.

Katanya, dalam perbincangan itu, beliau menyatakan pendirian tegas agar UiTM Tawau tidak ditutup, selain menyampaikan maklum balas dan keresahan masyarakat susulan laporan mengenai kemungkinan penutupan atau rasionalisasi kampus berkenaan.

“Alhamdulillah, dalam sesi tersebut, pihak KPT memaklumkan bahawa UiTM Tawau tidak akan ditutup dan tiada pengurangan program akan dilaksanakan.

“Malah, kapasiti kampus akan ditingkatkan daripada 250 kepada 500 pelajar menjelang tahun 2030, di samping pengenalan kursus-kursus baharu yang bersesuaian dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Perbincangan itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Haji Zainudin Aman, Timbalan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Mohd Nor Azman serta pegawai-pegawai kementerian berkenaan.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyuarakan kebimbangan berhubung isu tersebut.

Beliau berharap anak-anak Sabah terus menikmati akses lebih luas kepada pendidikan tinggi berkualiti, khususnya di kawasan Pantai Timur negeri ini.

Exit mobile version